Gambar Pilihan

Wednesday 29 April 2015

Bengkel Penulisan Kreatif Tingkat Ilmu Mahasiswa

SINTOK: Seramai 120 orang pelajar menyertai Bengkel Penulisan Kreatif anjuran kursus SBLM1023 Pengantar Penulisan yang bertujuan untuk meningkatkan ilmu dalam bidang penulisan baru-baru ini.
    Bengkel yang diadakan di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia(UUM) disampaikan oleh penceramah jemputan yang pakar dalam bidang penulisan kreatif iaitu Tuan Haji Fairuz bin Salim. 
    Dalam ceramahnya, beliau menyatakan bahawa sesebuah karya penulisan tidak akan dapat dihasilkan tanpa amalan budaya membaca.
   “Tulisan yang tajam dan baik lahir daripada pembacaan yang dalam.  Hanya dengan kecintaan yang mendalam terhadap pembacaan akan mencetuskan ilham untuk diluahkan di atas kertas,” katanya. 
    Objektif utama bengkel ialah untuk menyampaikan ilmu mengenai penulisan kreatif dan melatih  para peserta program mengetahui serta menggunakan infomasi yang diperolehi untuk lebih berfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran penulisan kreatif.
    Bagi mahasiswa, ilmu mengenai penulisan kreatif yang disampaikan dapat dimanfaatkan dan boleh digunakan semasa menghasilkan majalah untuk kursus Pengantar Penulisan tersebut. 
    Menurut Nur Fariha Ismail pelajar yang berasal dari Johor, beliau yakin potensinya dalam bidang penulisan adalah bersesuaian dengan cita-citanya menjadi seorang novelis lebih-lebih lagi setelah mendapat bimbingan dalam bengkel ini. 
   “Bengkel ini telah mengajar saya banyak perkara baru berkenaan dengan teknik dan gaya penulisan kreatif.  Saya berasa sungguh bertuah kerana penyertaan dalam bengkel ini memberi manfaat besar dalam usaha saya mengejar cita-cita saya,” katanya.
    Menurut Encik Azmi Rahman, selaku salah seorang pensyarah kursus Pengantar Penulisan berharap golongan penulis khususnya dalam kalangan mahasiswa peserta bengkel dapat bersama-sama menjaga keharmonian negara melalui penulisan yang indah ke arah faedah kesejahteraan bersama.
     Tambahnya lagi, beliau berharap program ini akan dapat menyemai semangat ingin tahu dalam kalangan peserta program tentang penulisan kreatif serta dapat memberi pengetahuan secara langsung kepada peserta program dalam aspek bahasa dan kesusasteraan.

                           Antara sebahagian peserta yang hadir mendengar ceramah.

No comments:

Post a Comment